SIMANGGANG: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Haji Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pagi tadi telah mengadakan lawatan singkat ke sini untuk meninjau perjalanan program pemberian vaksin kepada remaja 12-17 tahun.
Sejurus tiba di sini beliau dan rombongan terus bergerak ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bertempat di Dewan Suarah di sini di mana beliau juga telah diberi taklimat mengenai program tersebut bagi Bahagian Sri Aman keseluruhannya oleh Pegawai Kesihatan Bahagian, Dr. Euphrasia Bari.
Program pemberian vaksin di Bahagian Sri Aman melibatkan seramai 7,083 remaja berumur 12-17 tahun.
Taklimat tersebut merangkumi perkembangan terkini mengenai hospital baharu Sri Aman yang akan siap sepenuhnya tidak lama lagi.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian selaku Penasihat JPBN dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion.
Datuk Patinggi Abang Haji Zohari kemudian mengadakan lawatan ke projek Tebingan Sungai di sini yang juga akan siap tidak lama lagi.
Hadir bersama Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Dato Francis Hardin Hollis, ADUN Lingga Hajah Simoi Peri dan Pengarah Kesihatan Sarawak, Dato Dr. Mohamed Sapian Mohamed.
Sumber dari : Sarawakku